Beban Keluarga Pesakit Kanak-Kanak di Kelantan Diringankan Melalui Rumah Ronald McDonald Hospital USM

Assalamualaikum



Beban Keluarga Pesakit Kanak-Kanak di Kelantan Diringankan Melalui Rumah Ronald McDonald Hospital USM | Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi akhirnya 6 Ogos Rumah Ronald McDonald akhirnya dirasmikan oleh YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan. Buat yang belum tahu lagi apa fungsi Rumah Ronald McDonald ni, ia adalah rumah penginapan sementara untuk memastikan keluarga pesakit pediatrik sentiasa dekat bersama pesakit. Jadi buat keluarga pesakit yang kurang berkemampuan memang Rumah Ronald McDonald (RRM) ni sangat membantu.

(dari kiri ke kanan): Acara memotong riben sebagai simbolik perasmian Rumah Ronald McDonald di Hospital USM oleh Yang Berhormat Dato’ Mohd Amar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan; Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Pengarah, Kampus Kesihatan USM mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia; dan Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.


Kalau korang nak tahu, Rumah Ronald McDonald Hospital USM Kubang Kerian ini dibina atas kerjasama antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan serta hasil sumbangan pelbagai pihak. Memang ia adalah antara projek terbesar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) pada tahun 2019 ini dan ia adalah Rumah Ronald McDonald yang kedua di Malaysia. Rumah Ronald McDonald pertama telah dibina pada tahun 1999 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) Kuala Lumpur yang bakal menyambut ulangtahun ke-20 pada tahun ini. Di peringkat global pula, Rumah Ronald McDonald oleh RMHC kini mencecah 370 buah di seluruh dunia. Banyak kan? Marsha memang bangga dan kagum dengan usaha RMHC ini demi menyantuni anak-anak kecil seluruh dunia.




Rumah penginapan sementara ini memenuhi keperluan keluarga pesakit pediatrik disamping meringankan beban kewangan ketika anak mereka menjalani rawatan di Hospital USM dengan kos penginapan yang mampu milik, hanya berharga RM5 untuk satu malam. Jadi keluarga pesakit yang dari kawasan yang jauh tak perlu pening-pening nak ulang-alik, cari homestay ataupun hotel. Bayaran yang dikenakan pun sangat-sangat berbaloi.


Menurut YB Dato’ Mohd Amar , Kerajaan Negeri Kelantan amat gembira melihat inisiatif sebegini yang dilaksanakan oleh RMHC Malaysia. Konsep rumah penginapan sementara seperti ini amat unik kerana ia membolehkan keluarga pesakit yang datang dari jauh untuk berada dekat dengan anak-anak mereka ketika menjalani sesi rawatan yang berpanjangan dan mengambil masa yang lama. Sudah pasti rumah ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang datang ke Hospital USM atau hospital-hospital lain di bandar Kota Bahru ini. Menurut beliau lagi, inisiatif seperti ini bukan sahaja dinamakan sebagai charity atau sumbangan juga disebut sebagai waqaf.


Yang Berhormat Dato’ Mohd Amar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan.


Rumah Ronald McDonald Harapan Keluarga Pesakit Pediatrik Hospital USM


RRM ditubuhkan di Hospital USM kerana terdapat keperluan yang amat tinggi di mana secara purata ia telah menerima lebih 20,000 pesakit pediatrik setiap tahun. Sangat banyak tu. Rumah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang kebanyakannya mendapatkan rawatan di sini malah ia juga akan meringankan beban majoriti besar yang mengunjungi Hospital USM kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang datang dari kawasan luar bandar dan juga negeri-negeri lain.


Seiring dengan pengiktirafan USM sebagai Universiti Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), ia telah memacu Hospital USM ke hadapan dengan kedudukannya sebagai hospital rujukan utama dan hub kesihatan komuniti di Pantai Timur melalui APEX fasa kedua (bermula tahun 2014 hingga tahun 2025). Kewujudan Rumah Ronald McDonald di sini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Hospital USM sebagai sebuah hospital yang cakna kepada keperluan pesakit dan waris mereka, khususnya di Pantai Timur.


Menurut Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia juga merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia berkata, “RMHC Malaysia komited untuk menyediakan lebih banyak kemudahan seperti ini untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Kita berharap agar melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan negeri dan mana-mana penyedia perkhidmatan kesihatan khususnya hospital-hospital yang berkepadatan tinggi, kita dapat menepati janji RMHC iaitu ‘Keeping Families Close’ atau memastikan famili sentiasa dekat bersama melalui kemudahan Rumah Ronald McDonald ini.” 

Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang terhadap pembinaan Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan.


Azmir juga menekankan bahawa belanja pembinaan Rumah Ronald McDonald ini yang bernilai kira-kira RM4 juta tidak mungkin berjaya direalisasikan tanpa sumbangan ikhlas daripada pelanggan-pelanggan McDonald’s melalui tabung RMHC Malaysia di semua restoran McDonald’s di seluruh negara, syarikat-syarikat korporat, para pekerja dan juga para francaisi McDonald’s.

Tambah Azmir lagi, “Kami berbesar hati dapat memberi kemudahan Rumah Ronald McDonald ini untuk kegunaan ramai, lebih-lebih lagi untuk rakyat Kelantan dan Pantai Timur. Diharapkan dengan adanya rumah ini, ibu bapa lebih senang hati dan selesa menghantar anak mereka untuk menjalani rawatan di hospital,”.

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan menandatangani plak perasmian Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) sambil diperhatikan oleh Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

Majlis Perasmian Rumah Ronald McDonald ini juga turut dihadiri dan dimeriahkan oleh Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim, Pengarah Kampus Kesihatan USM mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang memaklumkan bahawa kewujudan Rumah Ronald McDonald Hospital USM ini dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan pesakit-pesakit pediatrik. Ini kerana bila keluarga ada berdekatan semangat pesakit untuk pulih dengan sokongan keluarga sangat tinggi.

“Sokongan ahli keluarga sama ada fizikal atau emosi merupakan faktor penting bagi menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit-pesakit pediatrik. Dengan adanya keluarga berada dekat dengan mereka dalam kawasan hospital, pesakit kanak-kanak ini akan lebih bersemangat dan gembira. Secara tidak langsung, kesan-kesan positif boleh dilihat sepanjang proses pemulihan.

Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Pengarah, Kampus Kesihatan USM mewakili Naib Canselor Universiti Sains Malaysia turut hadir menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan.


“Pembinaan RRM Hospital USM ini menjadi pemangkin kepada USM khususnya Hospital USM dalam menzahirkan teras USM sebagai Universiti APEX di mana antara fokus yang diutamakan adalah aspek kesejagatan, kesejahteraan dan kemanusiaan khususnya golongan sasaran B40,” kata beliau. Jadi dalam masa yang sama, pembinaan RRM ini dapat membantu golongan B40 dalam mendapatkan rawatan untuk anak-anak dengan baik.


RMHC Malaysia juga turut memberi tumpuan kepada 4 program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan Pek Kembali ke Sekolah bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dari keluarga yang memerlukan. Semua program ini meliputi 3 bidang utama RMHC Malaysia iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan. 


Tentang Rumah Ronald McDonald, Hospital USM, Kelantan 

Sebenarnya Marsha pernah share tentang RRM ni di entri yang sebelum ni DISINI. Kalau tengok gambar memang sangat selesa dengan hanya bayaran RM5. Tapi Marsha nak recap kembali tentang RRM ini 👇

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika melawat Bilik Sensori Ronald McDonald yang terdapat di dalam Rumah Ronald McDonald di Hospital USM. Bilik Sensori Ronald McDonald ini dilengkapi dengan peralatan terapi deria yang bersesuaian untuk proses perkembangan emosi, tingkah laku dan pembelajaran seharian kanak-kanak istimewa.
  • Bilangan bilik tidur: 18 (boleh memuatkan 18 keluarga dalam satu-satu masa). 
  • Bilangan katil: 72 katil 
  • Kemudahan Bilik Sensori Ronald McDonald: Lengkap dengan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa 
  • Kemudahan lain yang disediakan: Ruang makan, ruang istirahat, dapur, bilik dobi, bilik permainan 

Program lain oleh RMHC yang terdapat di Hospital USM termasuklah Gift of Smile, yang merupakan program bantuan kewangan penuh untuk kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing bibir dan lelangit bagi menjalani pembedahan pembetulan.



Jika korang berminat untuk menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malysia, korang boleh hubungi cawangan Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Kuala Lumpur di talian 03-9173 5994 atau ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388.

Moga ada RRM seterusnya akan dibina oleh RMHC di negeri-negeri lain juga demi menyantuni kanak-kanak di Malaysia. Marsha doakan usaha ini akan sentiasa berterusan.



Marsha
Part Time Blogger
Niche Lifestyle, Parenting, Healthy, Beauty & Travel
Collaboration & Review Blogger

23 Comments

  1. Bagus ada usaha macam ni untuk rakyat ye?. Ye la kadang2 tu senang la ada tempat tinggal yang berpatutan berdekatan dengan tempat rawatan ni. Usaha McDonald's ni patut dipuji. Syabas!!

    ReplyDelete
  2. Alhamduillah, ia bertepatan pada masa kini. Melihat pada kemudahan yang mereka sediakn memang bersesuai. Tahniah

    ReplyDelete
  3. Bagusnya! Satu usaha murni yang patut dicontohi dan diperjuangkan untuk masa depan. Terbaik!

    ReplyDelete
  4. bagus sgt rumah ronald ni dpt bantu masyarakat dan pesakit yg memerlukan

    ReplyDelete
  5. bagusnya buat macam ni. mcdonald dah cukup kaya buat macam ni and patut pun buat macam ni. harapnya ada lagi la untuk negeri-negeri lain pulak. ringan sikit beban.

    ReplyDelete
  6. Da siap ekk? Bagus la.
    Dpt membantu golongan yg memerlUkan. Now kos segala kos amat tinggi.
    Seharusnya la kerajaan membantu dgn apa cara sekalipun.

    ReplyDelete
  7. cantik tempat dia..selesa nampak.bgusla waris dapat dekat dengan pesakit..tak perlu ulang alik..ade tempat tinggal selesa

    ReplyDelete
  8. Program sebegini sebenarnya harus dikembangkan lagi. Bukan tak ada, ada cuma tidak diwar-warkan seperti sumbangan dari syarikat koperat khazanah dan yayasan Al-Bukhari. Syarikat besar yang memberi khidmat sosial kepada masyarakat. Termasuklah usaha McD ni. Sangat murni. Hope syarikat lain seperti KFC juga akan lebih memberi sumbangan kepada masyarakat negara kita kan?

    ReplyDelete
  9. Bagus la bila ada usaha meringankan beban camni kan? Maklum la di saat anak2 sakit mmg ibu bapa la paling teruk keadaannya. Ada bantuan camni mmg bgs la

    ReplyDelete
  10. Menarik program ni. Tak sangka pulak mcdonald ada charity mcm ni. Usaha yang bagus untuk rakyat dapat kemudahan macam ni. Mohon juga rumah Mcdonald ni ada di kebanyakan negeri lain.

    ReplyDelete
  11. Terima kasih marsha kupas topik pasal RRM ni. Jujur cakap ini first time Nur dgr pasal RRM.

    Alhamdulillah, satu usaha yg sgt patut dipuji. Yela, sokongan keluarga especially mak ayah sgt diperlukan utk kesembuhan. Ini berdasarkan pengalaman Nur warded 12 hari.

    Sokongan keluarga mmg sgt diperlukan. Dan, bila pesakit warded dlm tempoh yg lama, mencabar juga utk ahli keluarga yg rumah jauh dari hospital.

    So bila ada inisiatif yg bagus mcm ni, sgt2 banyak membantu.

    Pembinaan RRM ni adalah 1 contoh yg patut dicontohi. Terbaik!

    ReplyDelete
  12. Alhamdulillah. Usaha sebegini sememangnya patut dipuji. Semoga lebih banyak lagi kerja sebegini di masa akan datang.

    ReplyDelete
  13. Alhamdulillah moga bermanfaat sentiasa dan tahniah atas nilai murni yg diusahakan ini

    ReplyDelete
  14. seronok dapat jadi part of di sini. semoga dapat memberi sumbangan kepada mereka.

    ReplyDelete
  15. murah jugak keiaman macam ni . Rm5 sahaja satu malam. Thankks to USM for prepare us this one. Tak adalah keluarga runsing lepas ni, lagi satu dekat juga dengan patient. Mesti selalu full house lepas ni

    ReplyDelete
  16. baguslah ada usaha yang murni macam ni moga lebih banyak lepas ni ada tempat macam ni dan juga melibatkan badan koporat yang lain sebab ramai lagi perlu tempat macam ni...

    ReplyDelete
  17. Bagus usaha macam ni. Amat membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

    ReplyDelete
  18. Tahniah McDonalds atas usaha yang baik macam nie..

    ReplyDelete
  19. Bagus dengan ada ya rumah Ronald Mcdonald ni Dapat la kurang kan beban family pesakit2 yang jauh kan

    ReplyDelete
  20. Bagus usaha Mcdonalds untuk membantu buat rumah yang macam ni. Bukan sahaja selesa, at least dapat kurangkan jugak belanja keluarga pesakit. Nak bayar bil hospital pun dah tinggi, at least dengan cara ni dapatlah ringankan beban.

    ReplyDelete
  21. bagus mereka mewujudkan rumah ronald mcdonald nie. dapat dijadikan tempat untuk berteduh mereka yg kurang bernasib baik. semoga lebih banyak lagi usaha murni seperti ini di masa akan datang

    ReplyDelete
  22. Alhamdulillah, bagus betul innisiatif yang diorang buat ni. Banyak orang akan menerima manfaat dari benda ni. salutelah kat diorang .

    ReplyDelete

Terima kasih sudi tinggalkan komen. Moga dimurahkan rezeki semua. Tunggu saya terjah balik yer..:)

Subscribe Us