Sekolah Dahulu dan Sekolah Sekarang

/
2 Comments

Sekolah Dahulu dan Sekolah Sekarang

Assalamualaikum

Dah lama rasa Marsha meninggalkan alam persekolahan sejak tahun 1999 masa tu ambil SPM tapi masih lagi berada di sekolah sekarang sebagai insan yang berbeza iaitu pendidik. Dulu sebagai pelajar sekolah yang biasa-biasa tak menonjol di sekolah. Akhirnya pada umur 30 tahun masuk balik ke sekolah sebagai pendidik…alhamdulillah. Ini bermakna sekolah dengan Marsha tak boleh berpisah. Rezeki memang di sekolah akhirnya walaupun masa degree jurusan yang diambil ialah perhutanan. Tambahan lagi abah pun happy ada juga anak dia yang ikut jejak dia sebagai seorang pendidik. Ya, Marsha seorang sahaja yang ikut jejak abah sebagai seorang pendidik dari lima beradik.

Ok bila tengok tajuk diatas masa ni rasa nak imbas kembali sekolah di zaman Marsha dulu, pada tahun 90-an. Marsha ni generasi 90-an tau, UPSR tahun 1994, PMR atau sekarang dikenali sebagai PT3 tahun 1997 dan SPM tahun 1999. Banyak kenangan dan pengalaman yang Marsha dapat di zaman persekolahan dulu. Bila berada di zaman sekarang memang nampak banyak perbezaan dan perubahan sekolah dahulu dan juga sekolah sekarang. Bukan dari segi pelajaran sahaja tapi banyak juga sisi atau segi lain yang mengalami perubahan yang ketara dan ada juga yang tidak ketara.

Perbezaan Sekolah Dahulu dan Sekolah Sekarang?

Sekolah dahulu kita masih sangat kurang menggunakan pengangkutan untuk ke sekolah.Biasanya paling ok pun ibu bapa hantar atau naik bas sekolah dan bas biasa. Tu pun kiranya kawan-kawan yang ayah ibu bekerja dengan jawatan yang agak tinggi. Kebanyakkannya akan berjalan kaki dan juga naik basikal ke sekolah. Jarang tengok yang tak berlesen bawak motosikal atau kereta. Tetapi sekolah sekarang sudah jarang datang sekolah berjalan kaki, berbasikal atau dihantar oleh ibu bapa. Boleh dikira dengan jari jemari. Kebanyakannya menaiki motosikal walaupun tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Biasanya lesen memandu motosikal boleh di ambil bila individu mencecah umur 16 tahun keatas berdasarkan tarikh lahir. Jika belum mencapai umur 16 tahun maka individu terbabit tidak layak untuk memohon lesen memandu motosikal. Tetapi pada zaman sekarang ibu bapa lebih mementingkan kemahuan anak-anak dan sanggup membeli motosikal walaupun sedar anak tidak mempunyai lesen memandu dengan alasan hanya untuk ke sekolah. Tetapi ia sebenarnya mengundang bahaya kepada anak-anak jika berlaku perkara yang tidak diingini. Di sekolah Marsha sendiri pun ada berlaku kemalangan antara pelajar dan orang luar dan lagi teruk sebab pelajar tersebut tidak mempunyai lesen memandu. Jadi, sebolehnya anak-anak perlu ada lesen memandu dan kita sebagai ibu bapa dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Budaya di sekolah dahulu dengan sekolah sekarang juga berbeza. Jika sekolah dahulu pelajar dari jauh dah berlari menolong cikgu bila nampak cikgu membawa beban yang banyak semasa ke kelas tambahan cikgu tersebut sarat mengandung atau sudah berusia. Pointnya disini bukan nak suruh pelajar asik bantu cikgu tetapi itu adalah satu nilai murni yang ada pada diri seseorang terutamanya pelajar. Tetapi pelajar sekarang hanya melirik anak mata sahaja. Lebih mementingkan diri dari menolong cikgu. Mungkin ia adalah satu trend pada anak-anak zaman sekarang. Kerana mereka lebih terdedah pada gadget dan kurang bersosial di luar dengan orang yang lebih tua. Namun masih ada segelintir pelajar yang masih ringan tulang membantu cikgu. Sangat berterimakasih kepada segelintir anak-anak pelajar yang masih bersikap ringan tulang.

Dari segi pemakaian pelajar juga sama, sangat ketara perubahannya. Mungkin pada zaman kini lebih mengikut gaya K-POP jadi seluar sekolah yang telah dijahit elok kakinya ditambah jahitan menjadi sempit dibawah. Baju kemeja dikecikkan menjadi muat-muat badan. Itu pelajar lelaki. Pelajar perempuan pula tudung menjadi singkat, baju menjadi muat-muat badan dan banyak lagi. Ini semua adalah peniruan budaya. Kalau sekolah dahulu baju sekolah yang dipakai loose dan selesa. Tapi pada zaman sekarang pelajar lebih suka ‘modify’ supaya Nampak lebih trendy. Pelajar perempuan mula memakai lipstick ke sekolah yang dulunya lipstick memang tidak boleh dipakai sehingga sekarang. Tapi pelajar hanya ‘ignore’ sahaja peraturan sekolah. Pemakaian kasut dan stokin juga mengikut peredaran zaman sekarang. Pelajar sanggup menabung untuk kelihatan lebih menarik di sekolah. Kerana para pelajar sekarang lebih mementingkan penampilan diri dari pelajaran.

Sekolah Dahulu dan Sekolah Sekarang



Lagi satu kalau sekolah dahulu ibu bapa serahkan anak-anak pada guru. Kalau salah minta di jalankan hukuman asal tidak memberi kesan negatif kepada pelajar. Janji anak-anak akan tahu kesalahan mereka. Tapi lain pada zaman sekarang kerana ada ibu bapa yang lebih banyak memihak pada anak-anak walaupun terang lagi bersuluh anak mereka membuat kesalahan. Kemudian bila pelajar dihukum kerana membuat kesalahan, ibu bapa pula membuat laporan polis dan viralkan di media social. Sudahnya pelajar menjadi besar kepala.

Bukan sahaja dari segi budaya ke sekolah dan juga pemakaian, dari segi Pendidikan juga berubah. Antaranya ialah cara pembelajaran, sumber pengetahuan dan pada sekolah itu sendiri. Sekolah dahulu cara pembelajaran sangat ringkas hanya menggunakan papan hijau bersama kapur putih. Tapi sekolah sekarang kita ada pelbagai ABM (Alat Bantu Mengajar) yang berteknologi tinggi seperti laptop, LCD projector dan pelbagai lagi. Ia lebih mudah dan pelajar lebih berminat. Cara pelajar mendapatkan sumber pengetahuan juga berbeza. Sekolah dahulu pelajar banyak menghabiskan masa di perpustakaan sekolah malah perpustakaan negeri untuk mendapatkan maklumat. Membuat pinjaman buku untuk mengulangkaji dan sebagainya. Sekolah sekarang, pelajar sudah jarang menghabiskan masa di perpustakaan. Mungkin hanya segelintir yang masih menjadikan perpustakaan sebagai tempat mencari maklumat. Sekolah sekarang bagi yang mempunyai kemudahan internet dirumah akan mencari maklumat secara digital melalui laman-laman web yang diperlukan. Hanya ‘search’ dan maklumat akan terus dapat dengan masa yang singkat. Tak perlu guna komputer atau komputer riba. Telefon pintar juga boleh. Lebih senang dan juga praktikal pada zaman sekarang. Jadi tak hairanlah kalau seawal 4 tahun kanak-kanak sudah mempunyai telefon pintar atau tab. Dah pandai explore macam-macam.

Dulu semua maklumat pelajar atau markah peperiksaan akan dilakukan secara manual oleh guru. Tapi sekarang tidak lagi. Maklumat tentang pelajar juga seperti nama, alamat, maklumat keluarga akan diisi oleh guru secara online dalam aplikasi yang di panggil sebagai APDM. Jadi guru-guru dapat mengemaskini sahaja maklumat dari tahun ke tahun jika ada perubahan dari segi gaji ibu bapa, alamat atau lain-lain. Dengan adanya aplikasi APDM ni, ia memudahkan guru biasiswa untuk menapis pelajar yang betul-betul layak untuk mendapat biasiswa. Markah pula juga diisi online oleh guru dalam aplikasi yang dikenali sebagai SAPS. Ini memudahkan ibu bapa memantau pelajaran para pelajar secara online tanpa menunggu hari bertemu waris untuk berjumpa guru. Jadi ibu bapa boleh membuat perancangan awal untuk anak-anak jika ada masalah dan pelajar tidak boleh menyorok markah mereka dari ibu bapa.

Sekolah dahulu tidak banyak dibina kerana pada masa itu pembangunan belum pesat. Ada pelajar yang tidak bersekolah kerana sekolah jauh dan tiada pengangkutan. Namun, sekolah sekarang ekoran dari pembangunan yang makin berkembang ditambah dengan pelajar yang makin bertambah banyak sekolah telah dibina. Pelajar tidak perlu bersekolah jauh dari tempat tinggal kecuali yang mendapat tawaran ke sekolah-sekolah berasrama penuh atau sekolah khas. Boleh dikatakan setiap kawasan mempunyai sekolah dan ia sangat membantu ibu bapa yang bekerja kerana anak-anak bersekolah berhampiran rumah. Macam Marsha sendiri jarak rumah ke sekolah anak hanya 500 meter. Tapi jarak rumah ke sekolah tempat mengajar adalah 15 kilometer. Jauhkan? Tapi tak apa sebab Marsha boleh memandu sendiri. Tambahan lagi memang ditugaskan mengajar di sekolah sekarang. Walaupun sedikit jauh tapi Marsha selesa mengajar di sini.

Itu adalah antara perbezaan sekolah dahulu dan sekolah sekarang. Banyak sangat perbezaan kan? Kita belum tahu lagi perbezaan yang akan berlaku pada masa hadapan. Lagi 10-20 tahun apakah perubahan dalam pendidikan dan di sekolah. Apa yang anak-anak kita bakal lalui pada tahun-tahun berikutnya. Dengan sistem Pendidikan yang kerap berubah mengikut tahun dan keperluan pelajar. Mungkin 10 tahun lagi Marsha boleh buat artikel yang sama lagi kan. Ok jadi ini sahaja coretan dari Marsha moga sistem Pendidikan kita akan jadi lebih baik dari masa ke semasa dengan pelajar yang berdedikasi insya Allah.








Marsha
Part Time Blogger
Review Product & Place Blogger
Shaklee ID shoot to Master Coordinator 2018


You may also like

2 comments:

  1. Memang byk bezanya dulu dan sekarang. Salam kenal

    ReplyDelete
  2. Kan banyak beza....salam perkenalan juga..:)

    ReplyDelete