Assalamualaikum


Rumah Ronald McDonald HUSM Kubang Kerian Kini Dibuka Untuk Kemudahan Pesakit Pediatrik| Kalau korang ke McDonald's, korang mesti ada nampak satu kotak merah kecil di kaunter semasa nak buat order - bayar untuk membolehkan kita menderma walaupun mengikut amaun yang kita nak derma. INILAH HASILNYA!!



Tarikh 23 Jun 2019 menjadi saksi pintu rumah Ronald McDonald HUSM Kubang Kerian, Kelantan kini dibuka luas untuk yang memerlukan. Bermula dengan majlis tandatangan memorandum antara pihak RMHC ( Ronald McDonald House Charities) dengan pihak HUSM kemudian majlis bacaan doa selamat dan kini rumah Ronald McDonald HUSM Kubang Kerian berdiri megah untuk pesakit pediatrik HUSM Kubang Kerian berteduh sementara mendapatkan rawatan di HUSM Kubang Kerian. Kalau korang nak tahu ini adalah rumah kedua selepas yang pertama dibuka di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur pada tahun 1999.


Apa Itu RMHC

RMHC Malaysia telah ditubuhkan pada Februari 1990 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk mewujudkan, mencari dan menyokong program-program yang mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.


Buat masa ini RMHC menjalankan empat program utama untuk menyokong teras Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan:

👉Rumah Ronald McDonald
👉Bilik Sensori Ronald McDonald
👉‘Gift of Smile’
👉Program Pek Kembali ke Sekolah. 

Sejak 28 tahun lalu, RMHC telah memberi impak dalam kehidupan lebih 20,000 kanak-kanak melibatkan kesihatan, pendidikan dan kebajikan dengan pembiayaan lebih RM16 juta. Dana untuk program-program yang dijalankan diperoleh daripada sumbangan ikhlas individu menerusi tabung yang terdapat di restoran-restoran McDonald’s dan juga tajaan serta sumbangan dari rakan korporat. Untuk maklumat lanjut mengenai RMHC, sila layari https://rmhc-malaysia.my/.


Latarbelakang Hospital HUSM

Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mula beroperasi sebagai hospital pengajar yang memberi perkhidmatan awam pada tahun 1983. Diterajui oleh Profesor Dr. Kamaruzaman Wan Su, Pengarah pertama Hospital USM bersama dua orang timbalan serta 570 orang staf pelopor. Kini, selama lebih 30 tahun berkhidmat kepada masyarakat, Hospital USM dengan bilangan staf mencecah 3,322 orang dan Pengarah Hospital sebagai penerajunya menawarkan pelbagai perkhidmatan klinikal dan sokongan klinikal bukan sahaja kepada masyarakat setempat malahan pesakit dari seluruh Malaysia. 

Hospital USM telah dirasmikan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 26 Ogos 1984.Tujuan utama penubuhan Hospital USM adalah untuk menjadi hospital pengajar bagi bidang Sains Perubatan, Sains Pergigian dan Sains Kesihatan. Selain itu, Hospital USM juga menyediakan perkhidmatan rawatan kepada pesakit di samping memberi peluang kepada para penyelidik untuk menjalankan aktiviti penyelidikan. 

Disokong dengan misi utama iaitu: “Hospital Universiti Sains Malaysia akan menerokai bidang-bidang baru perkhidmatan pesakit dan menjadi sebuah pusat perubatan yang cemerlang dengan memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan penggunaan teknologi perubatan terkini”, Hospital USM semakin pantas mengorak langkah kearah merealisasikan misi tersebut. 


Rumah Ronald McDonald HUSM Kubang Kerian


Dengan kos pembinaan bernilai RM4 juta, Rumah Ronald McDonald di Hospital USM dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang pastinya memberikan keselesaan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan. Antara kemudahan yang disediakan ialah:

💟18 buah bilik tidur serta ruang makan










💟Ruang Istirahat



💟Dapur



💟Bilik Dobi




💟Bilik Permainan







Selain daripada itu, rumah ini juga ternyata lebih istimewa dengan adanya Bilik Sensori Ronald McDonald yang menyediakan peralatan multi deria khas yang disumbangkan kepada Hospital USM untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa. 

Kalau korang nak tahu, Rumah Ronald McDonald yang direalisasikan hari ini adalah sumbangan RMHC Malaysia, McDonald’s Malaysia, rakan-rakan niaga, dan pelanggan-pelanggan McDonald’s yang menyumbang melalui tabung RMHC yang terletak di lebih daripada 275 restoran McDonald’s di seluruh negara. Jadi yang korang derma dalam tong merah kecik tu inilah hasilnya!!

RMHC Mc Donalds dan HUSM Kubang Kerian Bergabung Membantu Meringankan Bebas Waris Pesakit Yang Memerlukan

Menurut Tuan Azmir Jaafar, Presiden RMHC dan Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia apabila ditanya tentang Rumah Ronald McDonald ini,



“Rumah Ronald McDonald ini ditubuhkan kerana terdapat keperluannya yang amat tinggi di HUSM yang merupakan hospital rujukan yang menerima lebih daripada 20,000 pesakit setahun. Kemudahan seperti ini penting kerana ia bukan sahaja menyediakan kemudahan dan penginapan untuk meringankan beban keluarga pesakit, malah ia juga sedikit sebanyak memberi keluarga-keluarga ini kekuatan emosi dengan sokongan daripada keluarga-keluarga lain yang bersama-sama menemani anak mereka yang sakit.”




YBhg. Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia pula berkata,

“Dengan adanya Rumah Ronald McDonald di kampus Hospital USM, ahli keluarga akan sentiasa dapat bersama anak-anak mereka sepanjang tempoh mereka menerima rawatan di hospital. Ini adalah penting kerana secara tak langsung, ia akan menggalakkan pemulihan kesihatan pesakit-pesakit pediaktik dengan kadar yang pantas kerana sokongan fizikal dan emosi dari ahli keluarga.” 


Dengan Bayaran RM5 Memang Berbaloi


Tak percaya?? Memang kena percaya. Hanya RM5 untuk pesakit dan waris mendapatkan kemudahan yang selesa ini. Antara syaratnya ialah:

  • 👉Mestilah merupakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital USM untuk ward pediatrik (ward lain tidak boleh)
    👉Pesakit yang mendapat rawatan dari ward pediatrik itu mestilah berumur 18 tahun ke bawah
    👉Pesakit yang menerima rawatan ini hendaklah yang datang dari luar kawasan Kota Bharu
    setelah mendapat rawatan boleh dapatkan borang dari ward pediatrik tersebut
    👉Isi borang tersebut dan terus hantarkan borang tersebut ke bahagian Kebajikan Perubatan HUSM
    👉Pihak Kebajikan Perubatan HUSM akan menilai dan tentukan samada layak atau sebaliknya
    👉Jika layak maka pihak Kebajikan Perubatan HUSM akan menghubungi Rumah Ronald McDonald untuk tujuan pendaftaran

Jika menepati semua syarat diatas. InsyaAllah peratus untuk diterima memang tinggi. Marsha sangat kagum dengan usaha RMHC dan HUSM dalam menyantuni pesakit-pesakit pediatrik dan waris mereka. Moga banyak lagi Rumah Ronald McDonald akan didirikan di negeri-negeri lain pula.


Dan juga orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital USM, Kelantan atau ingin menyumbang melalui sumbangan tunai atau bantuan sukarela boleh menghubungi cawangan RMH di PPUKM, Kuala Lumpur di talian 03-91735994 untuk keterangan lanjut.

Marsha 
Part Time Blogger 
Niche Lifestyle, Parenting, Healthy, Beauty & Travel 
Collaboration & Review Blogger